suria

AirAsia X Tiada Niat Kelirukan Penumpang Dalam Penetapan Harga Laman Web

KUALA LUMPUR: AirAsia X berkata ia tiada niat sama sekali untuk mengelirukan para penumpang dari segi penetapan harga dalam laman sesawangnya walaupun syarikat penerbangan itu telah didenda oleh Mahkamah Persekutuan di Melbourne baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Azran Osman-Rani berkata denda sebanyak A$200,000 telah dikenakan berbanding dengan antara A$520,000 hingga A$650,000 oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) mencerminkan penerimaan mahkamah yang AirAsia tidak berniat mengelirukan sesiapa.

"Penghakiman mahkamah dalam perkara ini membayangkan yang tiadanya sebarang hasrat untuk mengelirukan pada bila-bila masa dan tiada pengguna merasa terpedaya atau mengalami sebarang kerugian kewangan berikutan kelalaian ini dan AirAsia telah memberikan kerjasama yang sewajarnya.

"Selain daripada itu, AirAsia juga telah memudahkan kelancaran perbicaraan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata yang AirAsia X faham akan kepentingan untuk menyediakan pengguna dengan penetapan harga "all in" dan "kami terus komited untuk memaparkan kesemua tambang "all in" di laman web kami."

Azran berkata semua iklan syarikat penerbangan tambang rendah adalah berdasarkan kepada tambang "all-in" yang termasuklah cukai dan caj mandatori yang lain.

"Prosiding undang-undang ini berkaitan hanya kepada tambang yang dipaparkan di laman sesawang airasia.com untuk jumlah terhad laluan "Fly-Thru" yang baharu ditambahkan kepada rangkaian kami pada 2011.

"Tambang-tambang yang dipersoalkan ini dimasukkan secara manual dan kami mengambil langkah-langkah segera untuk membetulkannya sebaik sahaja kami dimaklumkan," kata beliau.

Azran berkata proses menambah laluan baharu dan tambang yang dipaparkan di airasia.com telah diperbaiki dan diautomasikan untuk menghalang perkara sama berulang di masa akan datang.

"Syarikat penerbangan maklum kepentingan penetapan harga "all-inclusive" dan menjamin ketepatan bagaimana tambang itu dipaparkan," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Lain