suria

Pemimpin Tertinggi JI Teman Rapat Noor Fikrie - Polis Filipina

PETALING JAYA: Pemimpin tertinggi Jemaah Islamiyah (JI) Marwan dilaporkan merupakan teman rapat kepada Mohs Noor Fikrie Kahar yang ditembak mati di Davao, kata polis Filipina.

Ketua Polis Davao, Senior Supritendan Ronald de la Rossa berkata, Marwan atau nama sebenarnya Zulkifli Abdul Hir,46, dilaporkan sedang merancang untuk mengebom kawasan tersebut.

Bagaimanapun, percubaan berkenaan gagal apabila polis menembak Mohd Noor Fikrie yang berasal dari Kedah, menahan isterinya yang membawa bom dalam beg sandangnya Jumaat lalu.

Ketika ditanya sama ada pihak polis mempunyai maklumat di mana Marwan berada ketika ini, de la Rossa berkata: "Kami tidak tahu di mana dia berada. Saya berharap dan berdoa dia tidak berada di Davao."

Marwan, yang berasal dari Muar merupakan individu yang paling dikehendaki FBI dan ganajaran sebanyak US5 juta (RM15 juta) ditawarkan bagi sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Dia dipercayai telah terbunuh dalam satu serangan udara yang disokong oleh Amerika Syarikat di sebuah kem militan di Parang, Jolo pada 2 Februari bagaimanapun pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan kematiannya.

De la Rosa berkata mereka mengetahui perkara tersebut melalui soal siasat yang dijalankan terhadap isteri Mohd Noor Fikrie, yang merupakan seorang mualaf warga Filipina, Annabelle Nieva Lee.

Berumur 26 tahun, Mohd Noor Fikrie merupakan anak kepada seorang polis pencen namun ia telah direkrut oleh kumpulan militan serantau, JI melalui Facebook.

Dia dilaporkan berhubung dengan Marwan dan Abu Sayyaf menggunakan Internet dan menjadikan Sanakan Sabah sebagai transit untuk dia melawat ke Bandar Zamboanga di Selatan Filipina sebelum ke Davao.

Laporan turut menunjukkan Marwan yang menjalankan latihan organisasi pengganas dan membuat bom buatan tangan dilihat kali terakhir bersama Mohd Noor Fikrie di Mindanao.

Sementara itu, Ketua Polis Sabah, Komisioner Datuk Hamza Taib berkata setakat ini tiada bukti yang menunjukkan kaitan antara Mohd Noor Fikrie dengan negeri itu.

Tambahnya, Mohd Noor Fikrie tidak pernah tersenarai sebagai orang yang dikehendaki oleh polis Sabah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain