suria

Mayat Wanita Ditemui Di Pantai Dataran 1Malaysia

JASIN: Polis Melaka pada Selasa menemui mayat seorang wanita terdampar di pantai Dataran 1Malaysia Klebang di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P. R. Gunarajan berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat wanita yang berseluar jeans dan berbaju kemeja lengan panjang berwarna hitam tersebut.

"Mayat ditemui seorang pengawal keselamatan yang sedang meronda di kawasan itu pada pukul 10.30 pagi tadi yang kemudian melaporkannya kepada polis," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Menurutnya polis belum dapat memastikan punca kematian wanita tersebut yang dianggar berusia dalam 30-an dan memiliki ketinggian lima kaki dua inci serta berambut panjang.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga diminta tampil membantu, katanya menambah mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Gunarajan berkata polis sedang menjejaki dua individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang meninggal dunia di sebuah poliklinik di Merlimau dalam kejadian pukul 10.15 pagi Selasa.

Dua lelaki tersebut dilapor menghantar mangsa yang mengalami kecederaan pada hidung dan mulut dengan menaiki sebuah kereta sebelum menghilangkan diri.

Bagaimanapun mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri meninggal dunia tidak lama kemudian, katanya.

"Polis percaya mangsa yang berusia lingkungan 20-an ditemui dalam keadaan cedera di Kampung Merlimau Dalam," katanya.

Menurutnya polis juga belum dapat memastikan sama ada kematian lelaki tersebut mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain