suria

Malaysia-Indonesia Sasar Perdagangan Dua Hala Cecah AS30 Bilion Menjelang 2015 - PM

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia menyasarkan mencapai perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, walaupun sasaran itu dilihat seperti "ambitious", kedua-dua negara yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan tahap pembangunan yang pesat dialami oleh kedua-dua negara itu.

"Ini adalah sasaran yang "ambitious" tetapi ianya menunjukkan kesungguhan kedua-dua pihak pemerintah bagi mencapai kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak," katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia Dr Susilo Bambang Yudhoyono di sini, Selasa.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat dua hala dengan Susilo sempena rundingan tahunan ke-9 antara Malaysia dan Indonesia.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara telah mencatat peningkatan sebanyak AS$1 bilion kepada AS$15.9 bilion berbanding AS$14.9 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sehubungan dengan itu, Najib berkata kedua-dua pihak juga bersetuju untuk melihat kepada halangan bukan-tarif melalui jawatankuasa pelaburan perdagangan bersama yang boleh menghalang aktiviti perdagangan dua hala itu.

"Kalau kita boleh menghapuskan halangan bukan tarif ini, sudah tentu jumlah perdagangan dua hala dapat dipertingkatkan lagi," katanya.

Pada tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia berjumlah AS$18.3 bilion.

Beliau berkata kedua-dua pihak juga berpuas hati dengan pencapaian kedua-dua negara dari segi aspek kerjasama ekonomi dan bersetuju masih ada perhubungan strategik yang boleh diperkukuhkan lagi.

Dari segi pelaburan, Najib berkata Malaysia adalah pelabur keenam terbesar di Indonesia manakala pelabur Indonesia dilihat kebelakangan ini banyak membuat pelaburan di Malaysia terutamanya dalam sektor perhotelan.

"Saya dan Bapak Presiden mahu melihat jumlah pelaburan ini dapat dipertingkatkan lagi dan dapat diperlihatkan dalam bidang-bidang strategik seperti perbankan dan kewangan," kata beliau.

"Saya percaya bahawa integrasi ekonomi antara kedua-dua negara ini akan dapat diperkukuhkan lagi terutama sekali dengan pencapaian ekonomi Indonesia di bawah pimpinan bapak presiden," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata ianya merupakan satu perkembangan yang begitu positif dan dengan pertumbuhan ekonomi domestik yang sangat besar, sudah tentu ia akan memberi peluang yang besar bagi syarikat Malaysia melabur.

Pada masa yang sama, Najib berkata Malaysia juga akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat-syarikat Indonesia.

Sementara itu, Susilo berkata kedua pihak bersetuju masih ada ruang untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara pada jangka masa panjang.

"Ekonomi Indonesia memiliki ruang yang luas untuk terus tumbuh, ekonomi Malaysia juga tumbuh dengan baik. Masih ada potensi untuk bekerjasama di masa akan datang dan kami sepakat untuk memikirkan kerjasama ekonomi untuk jangka panjang," kata presiden itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain