suria

Lelaki Warga Bangladesh Maut Ditembak Lelaki Tidak Dikenali

KOTA BAHARU: Seorang lelaki warganegara Bangladesh maut selepas terkena dua das tembakan yang menembusi kepalanya di Jalan Bayam di sini, malam Isnin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata mangsa, Mat Shah Jalal, 31, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menaiki motosikal jenis EX5 berwarna merah.

"Mangsa bekerja sebagai pembaik pendingin hawa, maut selepas siasatan awal mendapati ada kesan tembakan di bahagian belakang kepala menembusi kening kirinya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Beliau berkata polis telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan kedua-dua suspek tersebut, dan juga sedang menyiasat motif serta punca sebenar Mat Shah ditembak.

Mazlan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain