suria

Kos Pengambilan Pembantu Rumah Akan Meningkat

KUALA LUMPUR: Kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang perlu ditanggung oleh majikan akan meningkat berbanding jumlah yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandangani pada 2011.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata kenaikan itu dibuat memandangkan kos yang dipersetujui sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana hanya melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh majikan dan pekerja.

"Struktur kos yang dipersetujui sebelum ini ialah sebanyak RM4,511 sebagai bayaran pengambilan pembantu rumah Indonesia oleh pihak majikan kepada agensi termasuk RM1,800 bayaran pekerja yang didahulukan oleh pihak majikan kepada agensi pekerjaan.

"Ia hanya melibatkan dua kos, iaitu majikan dan pembantu rumah (pekerja) tetapi malangnnya kos itu tidak mengambil kira apakah kos yang perlu ditanggung oleh agensi seperti saya dan kos yang sepatutnya ditanggung oleh agensi di sana," katanya selepas majlis MoU antara Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (Apjati), PIKAP dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) di sini, Isnin.

Beliau berkata kekurangan yang terdapat dalam MoU sebelum ini menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dan semakan semula terhadap isu berkenaan perlu dilakukan. "Kita dipanggil untuk mengkaji semula sebanyak empat kali dengan Kementerian Sumber Manusia sebelum kenaikan ini diputuskan," katanya menambah kos terbaru yang akan diumumkan itu dilihat lebih relevan dan memadai.

Menurut Raja Zulkepley, pengumuman kos itu bagaimanapun hanya akan dibuat oleh kerajaan dalam masa terdekat.

MoU pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani pada 2011 menetapkan RM4,511 sebagai bayaran pengambilan pembantu rumah Indonesia oleh pihak majikan Malaysia.

Kos itu melibatkan sebanyak RM2,711 yang perlu ditanggung pihak majikan manakala RM1,800 sebagai bayaran pekerja yang didahulukan pihak majikan kepada agensi pekerjaan.

Dalam perkembangan sama, Raja Zulkepley berkata cadangan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar untuk menghapuskan agensi pembantu rumah sebagai langkah untuk mengurangkan kos adalah tidak relevan.

"Pengalaman saya selama 20 tahun dalam bidang ini, saya rasa agak mustahil untuk dilakukan kerana ia hanya akan mendatangkan masalah sekiranya pengambilan pembantu rumah dibuat melalui kerajaan kepada kerajaan tanpa melibatkan agensi," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain