suria

Kenaikan Cukai Pintu, Lesen Di Selangor Seharusnya Tiada Kaitan Perbezaan Politik

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor meminta supaya kerajaan negeri tidak menjadikan perbezaan politik dalam memberi perkhidmatan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga masalah kenaikan cukai pintu dan bayaran lesen dipersoalkan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilaporkan bertindak untuk menaikkan cukai pintu sehingga 10 kali ganda di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang, serta keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menaikkan bayaran lesen 90 jenis perniagaan, masing-masing mulai tahun depan.

Ini termasuk tindakan PBT negeri yang turut mengenakan bayaran ke atas 32 jenis premis yang sebelum ini dikecualikan di bawah kerajaan BN.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, kenaikan cukai itu hanya membebankan rakyat kerana perkhidmatan yang diberikan PBT tidak setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

"Kita panjangkan (hal ini) kepada PBT, tetapi apabila mereka melihat ia datangnya daripada BN, mereka tak nak respons. Saya rasa ia satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Apa yang kita lakukan ini adalah masalah yang dibangkitkan oleh rakyat tanpa mengira mereka sama ada mereka penyokong BN atau tidak.

"(Oleh itu) jangan ambil perkara ini sebagai pertimbangan disebabkan politik (dalam memberikan maklum balas)," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sehubungan itu, Mohd Zin berkata, beliau meminta supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memberikan arahan supaya maklum balas yang dibuat mereka diberi perhatian.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, lebih membebankan apabila kenaikan cukai itu berlaku hampir setiap tahun dan terus meningkat sejak 2011 dan 2012 manakala kenaikan pada 2013 adalah lebih tinggi.

"Saya dimaklumkan bahawa ada penduduk yang membayar cukai pintu sebanyak RM1,470 pada 2011, menerima notis bayaran sehingga RM23,040 pada 2013. Ini bukan lipat ganda tetapi 'lipat maut'.

"Masalah penyelenggaraan infrastruktur yang lemah dan sistem kutipan sampah tidak cekap menyebabkan justifikasi kenaikan cukai ini langsung tidak boleh diterima.

“Lebih menyedihkan, rakyat seperti tertipu apabila pakatan rakyat berjanji akan menurunkan kadar cukai sehingga 20 peratus dalam manifesto mereka ketika PRU (pilihan raya umum) ke-12 yang lalu," katanya yang akan mendedahkan PBT terlibat dalam waktu terdekat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain