suria

Bincang Isu Beku Pengeluaran Caruman PF Demi Kebajikan Pekerja Tempatan - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan berbincang dengan Kumpulan Wang Pekerja (PF) di India berhubung peraturan negara itu yang membekukan pengeluaran caruman kepada pekerja asing termasuk Malaysia sehingga umur mereka mencapai 58 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata perbincangan lebih terperinci akan diadakan bagi menyelesaikan perkara ini demi kebajikan lebih 2,000 pekerja Malaysia di negara itu.

"Hasil daripada perbincangan ini, kita mungkin akan tubuhkan jawatankuasa tenaga kerja bagi meneliti perkara ini. "Tetapi ini tertakluk sama ada ia bersesuaian dengan dasar kedua-dua negara," katanya selepas merasmikan Sambutan Bulan Kualiti dan Inovasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Isnin.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk K.Selvarajah dan Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Abu Hurairah Abu Yazid.

Subramaniam berkata setiap agensi caruman pekerja di mana-mana negara menetapkan syarat dan peraturan pengeluaran wang caruman selepas bersara.

"Kita akan mendapatkan penjelasan dari India berhubung perkara ini dan akan meminta India membenarkan pekerja tempatan mengeluarkan wang caruman apabila sudah tamat tempoh bekerja, bukannya sehingga umur mencapai 58 tahun," katanya.

Media sebelum ini menggesa kerajaan melaksanakan Perjanjian Keselamatan Sosial dengan India bagi membolehkan lebih 2,000 pekerja tempatan mengeluarkan caruman PF apabila keluar dari negara itu.

PF merupakan organisasi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Malaysia dan menawarkan dividen minimum sembilan peratus kepada pencarum.

Terdahulu, Subramaniam menyampaikan anugerah Bulan Kualiti dan Inovasi Perkeso kepada petugas yang merangkul kejayaan melalui beberapa kategori yang dipertandingkan.

Antaranya ialah Pejabat Perkeso Terbaik (Pejabat Besar) yang dimenangi Perkeso Selangor menewaskan Perkeso Seberang Jaya dan Perkeso Perak untuk membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,700, sijil penghargaan serta trofi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain