suria

Polis Melaka Jejaki Remaja Saksi Kes Pemerdagangan Orang

MELAKA: Polis Melaka menjejaki seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia selain untuk tampil sebagai saksi kes sama yang dijadual dibicarakan April depan.

K. Kesaveni yang beralamat terakhir di No. 102, Jalan Pantai 1, Tengkera di sini, adalah saksi penting kes itu yang melibatkan seorang gadis berusia 15 tahun menjadi mangsa pelacuran, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Muhammad Koey Abdullah.

Suspek utama kes itu yang berusia 38 tahun maut setelah terjatuh dari tingkat dua sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis pada 29 November tahun lepas, manakala teman wanitanya berusia 23 tahun berjaya diberkas.

Wanita itu yang dibebaskan dengan jaminan polis bagi menguruskan pengebumian teman lelakinya bagaimanapun menghilangkan diri sebelum berjaya ditangkap semula di Negeri Sembilan pada 10 Disember lalu, katanya.

Mangsa kes itu pula ditempatkan di rumah perlindungan wanita sementara menunggu perbicaraan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain