suria

Pemilik Premis Perniagaan Di Sabah Disaran Perbaharui Sijil, Logo Halal Jakim

KOTA KINABALU: Pemilik premis perniagaan di negeri ini disarankan menukar atau memohon sijil dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berikutan pindaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang berkuatkuasa, sejak awal Januari lalu.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata mereka sudah diberi tempoh mencukupi untuk berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan lebih tegas termasuk denda dan hukuman penjara.

"Memang terdapat kesalahan penggunaan logo halal tiruan dan di peringkat awal mereka diberikan amaran dan peringatan. Sekiranya mereka meneruskan usaha-usaha ini ataupun mereka tidak mengambil berat peringatan amaran ini, tindakan boleh diambil.

"Tindakan denda boleh dikenakan bergantung kepada kesalahan iaitu kalau individu hampir RM1 juta manakala syarikat lebih RM1 juta," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Halal Negeri Sabah anjuran bersama Amanah Ikhtiar Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di sini, Isnin.

Mengikut akta itu, sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri sahaja yang boleh diguna pakai selepas akta berkenaan berkuat kuasa.

Terdahulu dalam ucapannya, Nasir berkata APD 2011 yang dilaksanakan tidak bermotifkan perniagaan atau keuntungan, sebaliknya ia merupakan usaha bagi memastikan produk syarikat yang mempunyai kelulusan halal, terjamin kualiti dan status halalnya.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pihak yang mendapat pengesahan sijil halal perlu memenuhi standard halal sepanjang masa bagi memastikan tahap keyakinan pengguna terhadap produk halal terus terpelihara.

"Pada masa sama, badan pelaksana amanah piawaian perlu komited dalam memikul tanggungjawab menjamin kewibawaan piawaian itu supaya ia dapat terus menonjolkan keseriusan agama Islam dalam memastikan orang Islam mengambil berat mengenai penggunaan produk yang suci dan bersih mengikut syariat Islam," katanya.

Beliau turut menyarankan semua pihak berwajib termasuk Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan KPDNKK memainkan peranan masing-masing bagi mencapai sifar Ketidakakuran dalam penguatkuasaan produk halal.

"Ini sekali gus akan dapat mempertingkatkan keyakinan para pengguna industri ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain