suria

Lebih 2,600 Warga Afghanistan Terima Latihan Kesihatan Di Bawah Malcon -ISAF

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bamyan, Afghanistan setakat ini telah melatih lebih 2,600 rakyat negara itu dalam bidang kesihatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin.

Beliau berkata ATM telah melatih 1,268 anggota Polis Nasional dan Tentera Nasional Afghanistan dalam penjagaan dan rawatan ke atas orang yang cedera atau terkorban dalam pertempuran serta 120 bidan dalam obstetrik dan protokal kecemasan neo-natal atau semasa kelahiran.

Selain itu, jururawat dan pegawai perubatan dari 88 hospital telah memperoleh pengetahuan baharu daripada pegawai Malaysia mengenai bantuan pernafasan kardium dan protokol kecemasan lain manakala 1,172 petugas kesihatan komuniti menerima latihan dalam pentdabiran kesihatan dan pengurusan logistik.

"Penerimaan baik di kalangan rakyat tempatan Afghanistan dan pendekatan inovatif Kontinjen Malaysia dalam Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (MALCON-ISAF) dalam mengendalikan program berkenaan kini telah menjadi contoh dan garis panduan popular bagi agensi dan masyarakat antarabangsa di seluruh Afghanistan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis penyampaian anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan sumbangan MALCON-ISAF di Afghanistan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) di sini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Duta Amerika Syarikat Datuk Paul W.Jones bagi mewakili kerajaan AS kepada Ahmad Zahid yang mewakili kerajaan Malaysia dan para penerima lain.

Mengimbas sejarah pembabitan Malaysia di Afghanistan, Menteri itu berkata Kuala Lumpur secara rasminya dipelawa oleh kerajaan Afghanistan pada 2010 untuk menyertai usaha pembinaan semula negara itu yang musnah akibat perang, bersama-sama dengan rakan seperti AS, New Zealand dan Australia.

"Setakat ini, 200 anggota tentera Malaysia telah berkhidmat di Afghanistan, menyalurkan bantuan kemanusiaan, khususnya bantuan perubatan," katanya dan menurutnya anggota MALCON-ISAF yang berada di Afghanistan ketika ini adalah pasukan yang kelima.

"Pada 2011, kami diberikan mandat oleh kerajaan untuk meneruskan misi kami sehingga 2014 selaras dengan pelan peralihan yang digariskan oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Ahmad Zahid berkata tumpuan awal iaitu memberikan perkhidmatan kesihatan oleh kumpulan MALCON 1 kemudiannya bertukar kepada pembangunan kapasiti dalam sektor kesihatan dari MALCON-ISAF 2 dan seterusnya demi untuk faedah jangka panjang penduduk di Bamyan.

Menteri itu berkata persefahaman di kalangan negara-negara dan rakan-rakan telah membolehkan mereka bekerjasama di Afghanistan.

"Bantuan logistik daripada New Zealand amat dihargai manakala bantuan teknikal dan logistik daripada AS dan Australia dalam misi itu dari semasa ke semasa telah menjadikannya lebih mudah," katanya.

Beliau berkata perbincangan dan dialog berterusan dengan rakan dan rakan kongsi dari negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga amat penting dan bermanfaat.

"Pendirian bersama kami ialah kami mahu melihat keadaan aman di Afghanistan," katanya.

Pada majlis hari ini menyaksikan anugerah disampaikan kepada Kol (Dr) Kamal Abdullah yang mengetuai pasukan pergigian MALCON-ISAF 3; Mejar (Dr) Mohd Arshil Moideen yang mengetaui pasukan kesihatan awam MALCON-ISAF 2; dan Mejar (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar yang mengetuai pasukan kesihatan awam MALCON-ISAF 3.

Dr Kamal memainkan peranan dalam membangunkan program latihan pasukan pergigian di Bamyan yang berjaya melahirkan lapan juruteknik pergigian setakat ini manakala Dr Mohd Arshil membantu membangunkan program pembinaan kapasiti kesihatan jangka panjang bagi semua pasukan MALCON-ISAF.

Program berkenaan meliputi penambahbaikan tadbir urus kesihatan, kualiti air, panel kuasa solar, kesihatan ibu dan anak, penyakit berjangkit dan kawalan wabak dan inisiatif-inisiatif kesihatan masyarakat jangka panjang yang lain.

Dr Mohamed Zaki pula diiktiraf bagi peranan beliau dalam melaksanakan program-program jangka panjang yang digariskan oleh MALCON-ISAF 2 dengan jayanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain