suria

LDP Yakin Pucuk Pimpinan BN Buat Keputusan Bijak Agih Kerusi Kosong

SANDAKAN: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk VK Liew yakin pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dapat menangani dengan baik isu pembahagian kerusi yang dikosongkan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar daripada BN kira-kira empat tahun yang lepas.

Beliau berkata keputusan bijak akan membawa kemenangan kepada BN dan seterusnya dapat mengekalkan kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kami di LDP mempunyai keyakinan tinggi bahawa rakyat Sabah akan terus memberi kepercayaan kepada kami untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut dalam pilihan raya umum ke-13," katanya ketika berucap pada Kongres LDP yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Ahad.

SAPP keluar daripada BN pada 17 Sept 2008 mengakibatkan BN kehilangan dua kerusi Parlimen, iaitu Sepanggar dan Tawau dan dua kerusi negeri, Likas dan Luyang.

Dua lagi kerusi yang diperuntukkan kepada SAPP iaitu Elopura dan Tanjung Papat kekal dalam BN selepas wakil rakyatnya, Au Kam Wah dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah, memutuskan untuk keluar daripada SAPP dan menyertai Gerakan.

Liew berkata LDP memenangi semua kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponen BN itu pada pilihan raya umum 2008, iaitu Parlimen Sandakan, Dewan Undangan Negeri Karamunting (wakil rakyatnya menyertai Gerakan), Tanjong Kapor dan Merotai.

Beliau yang juga anggota Parlimen Sandakan yakin dengan adanya kerjasama dan setiakawan anggota parti komponen BN, kerusi Parlimen Sandakan akan terus kekal menjadi milik BN.

"Kami amat beruntung kerana kerusi Parlimen Sandakan berjiran dengan Parlimen Libaran di mana Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merupakan Adun Sibuga dan pemimpin utama bukan sahaja di kawasan itu tetapi juga bagi seluruh negeri.

"Ini menguatkan lagi keyakinan kita untuk terus mempertahankan kawasan Parlimen Sandakan," katanya.

Berbeza dengan BN yang kukuh dan bersatu padu di bawah pimpinan Najib, Liew berkata pakatan rakyat (DAP-PKR-PAS) tidak mempunyai kekuatan kerana tidak bersatu.

"Mereka sesama sendiri bergaduh untuk berangan-angan merebut menjadi Perdana Menteri. Ini menunjukkan bahawa mereka sebenarnya pentingkan jawatan dan bukan untuk membela rakyat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain