suria

Kerajaan Tidak Pernah Pilih Kasih Beri Bantuan Kepada Rakyat

BERA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah pilih kasih atau mempersoalkan ideologi politik seseorang dalam memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua bentuk bantuan kepada rakyat selama ini adalah tanggungjawab kerajaan terhadap mereka yang memerlukan.

"Bantuan yang diterima rakyat di negara ini tidak terdapat di negara lain, kerajaan BN memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat yang layak termasuk bantuan persekolahan, bantuan Hari Raya dan sebagainya," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR 2012 dan Penyampaian bantuan Persekolahan kepada 2,000 pelajar kawasan Parlimen Bera, di sini, hari ini, beliau berkata segala bantuan itu menunjukkan bahawa kerajaan BN berjaya mentadbir urus negara dengan baik. "Bantuan yang diberikan itu adalah bagi mengatasi bebanan hidup rakyat," kata Anggota Parlimen Bera itu. Bagi Parlimen Bera sahaja, Ismail Sabri berkata seramai 13,000 penduduk di kawasan itu telah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Kerajaan juga akan mengagihkan bantuan kepada pelajar sekolah sebanyak RM100 dan Baucer buku kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM250 mulai bulan depan," katanya.

Beliau berkata kerajaan BN akan menepati segala janji yang dibuat semasa pilihan raya lepas. "Segala janji dan bantuan, dilaksanakan kerajaan kepada rakyat dan rakyat perlu bijak menilai apa yang dilaksanakan kerajaan BN selama ini," katanya.

Sementara itu di MUAR, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim berkata BRIM diberikan kepada rakyat yang layak tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata di kawasan Parlimen Muar seramai 22,000 penduduk yang layak telah menerima bantuan RM500 tiap seorang itu. "Sehubungan itu saya cabar pembangkang untuk menamakan seorang ahlinya yang layak ditolak permohonan untuk menerima BR1M ini jika ada," katanya sambil menyangkal tuduhan pembangkang bahawa bantuan itu sebagai 'gula-gula pilihan raya'.

Berucap menutup sukaneka anjuran Pakatan Wanita Taman Sri Temenggung, Jalan Sulaiman, Muar, di sini hari ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menggesa rakyat meneliti apa jua laporan yang disiarkan di internet sebelum mempercayainya. "Buatlah perbandingan dengan mendapatkan maklumat yang sahih daripada internet," katanya sambil menyatakan media alternatif itu banyak memberi faedah tetapi disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyebar fitnah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain