suria

Keputusan CEC Bukti DAP Parti Perkauman - Puad Zarkashi

JOHOR BAHARU: Keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP semalam jelas membuktikan kenyataan bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa Melayu tidak mempunyai tempat dalam parti itu adalah benar.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun calon Melayu yang bertanding dalam pemilihan itu bukan calang-calang orang, namun mereka tetap tewas kerana parti tersebut mengamalkan perkauman.

"Mereka yang bertanding bukan calang-calang orang seperti Senator Ariffin SM Omar, yang merupakan seorang tokoh akademik dan merupakan seorang profesor. "Saya tahu beliau tidak terpilih kerana beliau bangsa Melayu, dan orang DAP tidak pandang pun kelulusan dia. Kalau sekiranya ahli biasa DAP yang mengundi, saya tidak risau, tetapi yang mengundi ini ialah perwakilan yang merupakan pemimpin akar umbi," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata mereka bukan sahaja tidak menang malah semua lapan calon Melayu juga mendapat undi yang amat sedikit, membuktikan dengan jelas Melayu memang tidak mempunyai tempat dalam parti cauvinisme itu.

Sehubungan itu, Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meminta orang Melayu termasuk PAS membuka mata melihat perkara ini, dan tidak hanya bersikap tidak endah dengan apa yang berlaku.

"DAP memang tidak boleh dipercayai, bagaimana nak bekerjasama kalau seorang pemimpin Melayu pun tidak diberikan tempat di dalam parti itu, apatah lagi nanti jika mereka berjaya memegang tampuk pemerintahan negara," katanya.

Beliau berkata tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggunakan platform kongres itu bagi meminta secara terbuka tambahan 13 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 juga jelas menunjukkan tiada kesepakatan dalam pakatan pembangkang berhubung soal pembahagian kerusi.

"Masalah itu tidak selesai (pembahagian kerusi)... sebab itu, Guang Eng terpaksa bawa hal itu dalam ucapan perasmiannya, yang saya sifatkan sebagai satu ugutan. "Saya beranggapan tindakan itu membuktikan DAP tamak, tidak percaya kepada rakan kongsinya yang lain, dan sebab itu, dia (Guan Eng) guna platform ucapan dasar mengkritik PAS termasuk isu gender dalam pentadbiran PAS di Kelantan," katanya.

Puad berkata DAP juga seolah-olah memperlekeh PKR dan PAS serta memberi isyarat bahawa dua parti itu tidak mampu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum nanti, kerana itu, ia wajar diberi kepada DAP. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain