suria

Dua Pekerja Warga India Maut Dirempuh Kereta

RAWANG: Dua pekerja lelaki warga India sebuah syarikat sisa pepejal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Sungai Buloh pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian 3 petang itu, Solai Alagan, 28, dan Permal Soten Anbelan, 30, maut di tempat kejadian.

Beliau berkata kereta yang dipercayai dipandu di lorong tengah itu dikatakan terbabas lalu merempuh kedua-dua mangsa yang sedang membersihkan longgokan sampah di lorong kecemasan.

"Akibat rempuhan, kedua-dua mangsa tersepit di bahagian belakang lori sampah manakala tiga rakan mereka sempat menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta, dipercayai seorang doktor, dipercayai pitam sebelum kenderaan yang dipandu terbabas.

Pemandu itu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain