suria

Anggota, Bekas Tentera Disaran Terus Sokong Kerajaan

MELAKA: Anggota dan bekas tentera di negara ini disaran terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya mereka mahu menikmati pelbagai keistimewaan pada masa depan.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Melaka Datuk Mohd Fazil Shafie berkata ini kerana kerajaan telah melakukan pelbagai usaha dalam membela nasib anggota tentera termasuk golongan veteran.

Sebagai contoh katanya pengumuman Perdana Menteri berhubung pemberian tujuh inisiatif di bawah Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) semalam jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap anggota tentera di negara ini.

"Kalau sokong kerajaan kita boleh hidup aman damai seperti sekarang tetapi kalau kita cuba memporak-perandakan kerajaan sedia ada belum tahu lagi apa yang jadi pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Bekas Tentera Malaysia Daerah Melaka Tengah yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, hari ini.

Mohd Fazil berkata anggota tentera di negara ini perlu bersyukur dan membantu kerajaan memperbaiki segala kekurangan yang ada dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara dapat terus dipelihara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PBTM akan mengesan baki penerima Sumbangan ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTV1M) di Melaka yang belum mengemukakan borang pendaftaran mendapatkan sumbangan tersebut. Beliau berkata ia bagi memastikan insentif berjumlah RM1,000 itu dapat disalur dan dinikmati golongan veteran atau keluarga mereka.

Katanya sehingga kini, Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV) ATM negeri Melaka hanya menerima borang pendaftaran seramai 3,400 orang berbanding jumlah keseluruhan anggota tentera tidak berpencen di negeri itu iaitu seramai 6,000 orang.

"Kita juga akan berbincang dengan JHEV untuk melanjutkan tempoh permohonan yang akan berakhir pada 31 Dis ini kerana kita khuatir baki anggota yang masih tidak mendaftar disebabkan mereka tidak tahu berhubung pemberian tersebut," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain