suria

Perwakilan Dedah Unsur Politik Wang Mula Menular Dalam DAP

GEORGE TOWN: Seorang perwakilan DAP pada Sabtu mencadangkan supaya anggota parti diberi peluang untuk membuat pilihan terus bagi memilih kesemua jawatan kepimpinan parti termasuk pengerusi dan setiausaha agung parti.

Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata perkara itu bagi mengelak berlakunya unsur politik wang dalam pemilihan 20 anggota jawatankuasa tertinggi pusat (CEC).

Katanya, unsur-unsur tidak sihat itu mula menular dalam DAP memandangkan jumlah keanggotaan parti yang semakin meningkat.

"Parti pusat sepatutnya memikirkan juga pada masa akan datang untuk meminda perlembagaan parti supaya pemilihan seperti jawatan Setiausaha Agung dan Pengerusi dibuat terus oleh anggota parti," katanya kepada Bernama selepas membahaskan ucapan dasar Setiausaha Agung pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 di sini.

Ditanya sama ada politik wang berlaku di dalam parti DAP ketika ini, beliau berkata : "Ada...setakat ini bibit-bibit ada," katanya.

DAP kini mengamalkan sistem pemilihan seramai 20 anggota CEC yang kemudian akan berbincang dan melantik individu di kalangan anggota jawatankuasa berkenaan bagi mengisi jawatan penting seperti Setiausaha Agung dan Pengerusi. - BERNAMA

Artikel Lain