suria

Kastam Selangor Rampas Dadah Bernilai RM3.2 Juta Daripada Seorang Lelaki

PELABUHAN KLANG: Kastam Selangor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta daripada seorang lelaki tempatan dalam operasi di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur pada Khamis.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kastam Selangor Abdul Wahabi Abdullah berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pukul 1.30 petang ketika memandu, dipercayai dalam perjalanan untuk mengedar dadah.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, pasukan penguat kuasa menemui dadah jenis syabu seberat 500 gram yang dibungkus dalam beg plastik, katanya pada sidang media, di sini, Jumaat.

Susulan itu katanya, sepasukan penguat kuasa kastam ke kondominium yang disewa suspek di Dutamas Raya dan menemui pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ecstasy, eramin 5 dan ketamin yang siap dibungkus.

"Anggaran berat kesemua dadah ialah lima kilogram syabu, 35,000 peket esctacy dalam bentuk pil dan serbuk, 1,700 biji pil eramin 5 dan beberapa peket ketamin yang dibungkus di rumah suspek," katanya. Katanya mereka juga merampas wang tunai berjumlah RM11,500 dan mata wang Rusia 180,000 rubel.

Suspek pada awalnya disyaki menggunakan lapangan terbang untuk mengedar dadah ke luar negara, namun siasatan mendapati semua dadah terbabit untuk pasaran di Lembah Klang, katanya.

Abdul Wahabi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Bernama difahamkan Kastam Selangor melakukan intipan selama sebulan ke atas suspek sebelum diberkas semalam. -BERNAMA

Artikel Lain