suria

Jabatan Dan Agensi Kementerian Pertanian Capai KPI - Noh Omar

PUTRAJAYA: Tiga jabatan dan sembilan agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjaya menjapai Prestasi Petunjuk Utama (KPI) bagi tahun ini, kata Menterinya, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berharap prestasi dan pencapaian yang baik perlu dicapai tahun depan seiring dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasi sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan menguntungkan.

"Saya berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian secara keseluruhannya. Pada tahun hadapan kita mahu tumpuan diberikan pada sistem penyampaian kerana kita berurus terus dengan rakyat berakar umbi, petani dan nelayan.

"Kita nak pastikan segala bantuan dan khidmat yang diberikan sampai kepada golongan sasar tepat pada masa ditentukan. Tidak boleh ada kelewatan," katanya pada pemberita selepas menghadiri Hari Keluaraga kementerian di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha, Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Menurut Noh, dalam usaha menjadikan pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi utama negara, pelbagai langkah proaktif telah dan sedang dilaksanakan.

Antaranya peruntukkan RM2.4 bilion bagi tahun 2013 untuk membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran dalam bentuk subsidi dan insentif dan RM300 juta bagi membaiki dan membina rumah baru nelayan di seluruh negara.

"Kerajaan juga memperkenalkan skim insurans padi (di bawah Skim Perlindungan Takaful Padi) bagi memastikan petani yang berhadapan dengan bencana, serangan serangga atau penyakit pertanian dapat menerima pampasan yang baik," katanya.

Beliau juga mengingatkan syarikat yang dilantik untuk membekalkan bantuan dan keperluan kepada petani, penternak dan nelayan agar melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

"Contohnya, baja atau racun jika lewat dibekalkan, petani boleh tolak dan syarikat berkenaan terpaksa membayar balik kos tersebut dengan wang. Syarikat yang gagal menawarkan perkhidmatan baik akan disenaraihitamkan," jelasnya. - BERNAMA

Artikel Lain