suria

DAP Mahu Tambahan 13 Kerusi Parlimen, DUN Pada PRU-13

Lim Guan Eng. Foto ZHAFARAN NASIB / THE STAR
Lim Guan Eng. Foto ZHAFARAN NASIB / THE STAR
Lim Guan Eng. Foto ZHAFARAN NASIB / THE STAR

GEORGE TOWN: DAP mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga bagi kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pertambahan 13 kerusi adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita (DAP) telah terbukti menjadi rakan yang setia dan tulus kepada PAS dan PKR. DAP berharap bahawa kesetiaan kita ini diiktiraf dengan membenarkan DAP bertanding lebih banyak kerusi pada PRU nanti.

"Kita menyasarkan tiga tambahan kerusi untuk Parlimen dan 10 kerusi untuk DUN di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak sedang mengendalikan rundingan kerusi mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada kongres ke-16 DAP di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini, Sabtu.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding bagi 47 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN.

Lim berkata, mandat yang dicari oleh DAP daripada pengundi adalah untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi gabungan kerajaan bersama-sama dengan PKR dan PAS.

Katanya, mandat itu penting dalam rangka kerja pakatan pembangkang untuk merealisasikan agenda bersama yang ditetapkan dalam 'Common Framework' dan Buku Jingga.

Selain itu Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, pemimpin Pakatan di Sabah dan Sarawak perlu mengendalikan rundingan mengenai kerusi antara mereka sendiri.

Sejumlah 1,823 daripada 2,576 perwakilan hadir pada kongres parti itu untuk memilih 20 anggota jawatankuasa tertinggi pusat yang bertanding pada Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain