suria

Bayi Perempuan Ditemui Dalam Kotak Di Klang

KLANG: Seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kebajikan di Batu 3, Taman Mewah di Kapar, di sini awal pagi Sabtu.

Turut diletakkan dalam kotak bersama bayi yang dipercayai berusia sembilan hari itu ialah beberapa barangan antaranya susu, ubat, pakaian dan sekeping nota yang ditulis dengan tulisan Cina.

Menurut sumber polis, bayi itu ditemui oleh seorang petugas wanita rumah kebajikan berkenaan yang tiba untuk memulakan tugasnya kira-kira pukul 4 pagi.

"Pada mulanya wanita berkenaan menyangka kotak itu mengandungi sampah namun ketika mahu alihkan kotak berkenaan dia terasa berat dan sebaik membukanya mendapati terdapat seorang bayi di dalamnya," katanya.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di rumah kebajikan itu, kelibat seorang wanita dilihat meninggalkan kotak itu di hadapan premis berkenaan.

Bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Jani Ahmad mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan bayi itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain