suria

Lelaki Iran Bersama 5.3 Kg Syabu Dalam Sekatan Jalan Raya Di Alor Setar

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki warga Iran dalam satu sekatan di Jalan Kepala Batas-Alor Setar bersama 5.3 kilogram dadah, dipercayai jenis Syabu, Khamis.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam insiden pada kira-kira 10.30 malam itu, polis menahan teksi dinaiki suspek yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke sebuah hotel di pusat bandar.

"Ketika ditahan, lelaki berkenaan nampak mencurigakan dan selepas pihak polis memeriksa beg pakaian suspek di bahagian tempat letak barang teksi, didapati terdapat dua kotak (bijirin) yang dibungkus kemas di dalamnya.

"Setelah kotak itu dibuka, didapati ada hablur kristal dipercayai Syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM1.1 juta," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 46 tahun itu menaiki kapal terbang dari Iran ke Dubai, sebelum ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Alor Setar.

Ahmad juga berkata berdasarkan rekod, suspek yang dipercayai seorang ahli perniagaan di negaranya, sudah dua kali ke Malaysia dan pertama kali ke Kedah.

"Setakat ini, kita tak tahu motif dia dan tidak diketahui ke manakah destinasi akhir suspek kerana masalah komunikasi sebab suspek tak tahu cakap Inggeris," katanya.

Beliau berkata lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain