suria

Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 Penting Secara Dalaman Dan Luaran - Lim

GEORGE TOWN: Kongres Kebangsaan DAP ke-16 yang bermula esok adalah penting secara dalaman dan luaran kepada parti untuk memilih barisan kepimpinan baharu, selain memulakan kiraan detik 100 hari sebelum pilihan raya umum ke-13, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata pemilihan barisan kepimpinan pada kali ini mencatat rekod tersendiri apabila sejumlah 2,576 anggota perwakilan layak mengundi pada pemilihan yang akan berlangsung Sabtu.

"Ia adalah kongres parti DAP yang akan memilih barisan kepimpinan baharu untuk tiga tahun yang akan datang. Kongres ini penting secara dalaman dan luaran.

"Pada aspek dalaman, ini adalah urusan untuk ahli-ahli dan satu proses demokrasi yang penting bagi parti DAP yang akan ditentukan oleh ahli-ahli," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), di sini Jumaat.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata tiada halangan kepada mana-mana media untuk membuat liputan pada kongres dua hari itu yang akan diadakan di PISA bermula esok.

"Kita berikan ruang kepada semua media utama untuk buat liputan. Tapi kita lahirkan harapan biarlah (laporan) berdasarkan kebenaran, biar berdasarkan fakta. Kita berharap pihak media memberi laporan yang betul tentang apa yang berlaku.

"Kami tidak larang media...mereka dibenar membuat liputan, Tiada sebarang sekatan dikenakan. Ini terbuka kepada semua," katanya.

Bertemakan 'Perubahan Ditangani' kongres kali ini akan menyaksikan 68 calon bertanding merebut 20 kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). - BERNAMA

Artikel Lain