suria

Kerajaan Kaji Laksana Modul Pencegahan Dan Anti Rasuah Di Sekolah

KUALA LUMPUR: Modul integriti dan pencegahan rasuah mungkin dimasukkan dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya kementerian itu sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersebut untuk dimasukkan dalam subjek Pendidikan Islam, Sivik dan Kemanusiaan, serta Pendidikan Moral.

"Kita telah menerima cadangan SPRM dan dalam proses mengkaji. Bagaimanapun kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM pada aspek kokurikulum melalui pameran dan ceramah di sekolah serta membawa murid-murid melawat SPRM," katanya menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman di Dewan Negara, di sini Khamis.

Media sebelum ini melaporkan modul terbabit dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada Jun lepas.

Mohd Puad berkata pendekatan aspek integriti dari bangku sekolah dapat membantu individu daripada terlibat dengan perbuatan korup apabila memasuki alam pekerjaan.

Katanya kementerian juga sedang berbincang dengan SPRM untuk mewujudkan pusat pencegahan rasuah di Institut Pendidikan Guru bagi melatih bakal guru tentang nilai-nilai murni yang boleh diaplikasi apabila mengajar kelak.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Lihan Jok, Mohd Puad berkata sebanyak RM1.92 juta telah diagihkan kepada pejabat pendidikan daerah di Sarawak untuk mengatasi masalah pengangkutan murid etnik Penan ke sekolah.

Katanya jumlah itu meliputi kos pengangkutan, aktiviti di asrama dan perjalanan pergi-balik pada hujung minggu serta cuti penggal. - BERNAMA

Artikel Lain