suria

Polis Johor Tubuh Pasukan Khas Pantau Pasukan Johor Dalam Kempen Liga Malaysia

JOHOR BAHARU: Polis Johor menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras kegiatan perjudian dan mengatur perlawanan membabitkan pasukan Johor pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu Januari depan.

Penubuhan pasukan khas itu dibuat atas permintaan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini, yang mahu semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak pada Liga M dibanteras.

Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan khas itu diketuai oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, ACP Azizan Anan khusus untuk memantau pasukan bola sepak negeri itu.

"Pasukan khas itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memantau setiap perlawanan dan latihan membabitkan pasukan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri, di sini, Rabu.

Beliau berkata pasukan khas itu akan mempunyai unit risikan dan tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas sekiranya mengesan aktiviti bookie atau mengatur perlawanan.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya akan berkerjasama dengan PBNJ untuk mewujudkan sebuah laman web bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perjudian bola sepak atau pemain dan pegawai mengatur perlawanan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dalam 11 bulan pertama tahun ini, polis Johor telah melumpuhkan 29 kumpulan jenayah di negeri itu.

Ia terdiri daripada sembilan sindiket mencuri kenderaan, kumpulan samun berkumpulan tanpa senjata api (8), kumpulan samun warga asing (7) dan lima kumpulan samun kargo, katanya.

Beliau berkata dalam tempoh tersebut sebanyak 41 senjata api pelbagai jenis dan 569 butir peluru dirampas.

Mohd Mokhtar berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri pula menahan 10,820 orang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sebanyak 36.136kg heroin, 61.712kg ganja, 58.140kg syabu, 65.983kg ketamin dan 928,794 biji pil dadah pelbagai jenis turut dirampas. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain