suria

Pembangkang Tertekan Dr Mahathir Turun Padang - Syed Ali

PETALING JAYA: Pakatan pembangkang dilihat semakin tertekan apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup turun padang bertemu rakyat dalam usaha mengekalkan sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata pembangkang tidak senang duduk apabila bekas Perdana Menteri turun ke peringkat akar umbi dan mendedahkan pembohongan mereka (pakatan pembangkang).

"Justeru itu, komitmen Dr Mahathir terhadap perjuangan Umno yang diteruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus dihargai.

Menurutnya, pengakuan Dr Mahathir yang menyatakan sokongan dan berpuas hati dengan Najib sekali gus menyukarkan pembangkang untuk melemparkan fitnah terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada.

Jelas beliau, kesungguhan bekas Presiden Umno itu dalam menyampaikan penerangan dan ceramah politik ke peringkat akar umbi memberi mesej jelas bahawa kelangsungan Umno harus dipertahankan.

"Saya melihat pesanan dan teguran beliau banyak menjurus kepada kepentingan Umno dan orang Melayu. Beliau mahu rakyat menyokong Umno untuk mengekalkan sebuah kerajaan yang adil dan saksama," katanya.

Sebelum ini, pemimpin pembangkang mendakwa Dr Mahathir sepatutnya berehat dan tidak mencampuri urusan Umno serta kerajaan memerintah hari ini.

Bagaimanapun, Syed Ali berkata, pembangkang tidak ada hak untuk menyekat bekas Perdana Menteri itu turun padang dan memberikan penjelasan kepada rakyat.

“Rakyat terutama orang Melayu patut dengar pesanan dan ingatan Dr Mahathir yang sanggup mendedahkan penyelewengan dan kerakusan pakatan pembangkang untuk berkuasa,” tegasnya.

Jelas beliau, negara akan megalami kehancuran jika ditadbir oleh pemimpin yang mementingkan agenda peribadi dan mengetepikan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Syed Ali berkata keikhlasan Dr Mahathir memberikan pandangan ke arah penambahbaikan sistem pentadbiran kerajaan dilihat sebagai sesuatu yang positif.

“Mungkin ada yang kata buat apa Dr Mahathir nak sibuk, tetapi sebagai bekas Perdana Menteri dan negarawan terbilang, buah fikirannya masih boleh digunapakai,” ujarnya.

Pada Selasa, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan berkempen untuk menentang barisan pemimpin yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam pemerintahan kerajaan.

“Setakat ini, bagi pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, saya amat berpuashati,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain