suria

Mangsa Dera Dilaporkan Stabil

KLANG: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang didakwa didera bapa tirinya seperti tersebar dalam klip video di laman media sosial Facebook dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Pegawai Perhubungan Awam HTAR N. M. Akmar Irdawaty berkata mangsa ditempatkan di bilik berasingan di Wad Pediatrik untuk penilaian dan pemerhatian kesihatan.

"Orang awam tidak dibenarkan melawat kanak-kanak itu buat masa ini," katanya ketika ditemui pemberita di HTAR Khamis.

Kes penderaan kanak-kanak lelaki malang itu dipercayai berlaku dua bulan lepas dan klip video kejadian tersebar selepas seorang individu memuat naik ke laman Facebook sejak Rabu.

Susulan itu, polis menahan bapa tiri dan ibu tiri mangsa yang masing-masing berusia 32 dan 20 tahun, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Rusdi Md Isa dilaporkan berkata bapa tiri itu ditahan di rumahnya di Taman Mas, Kapar, dekat sini, selepas menerima laporan daripada seorang kenalan suspek yang menonton klip video itu.

Ibu tirinya pula ditahan kira-kira 10 malam tadi di rumahnya di Taman Meru Indah di sini dan dibebaskan setelah kenyataannya direkod.

Rusdi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan C. Sivarraajh, yang melawat kanak-kanak itu, berkata pihaknya sedia memberi bantuan kepada mangsa itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain