suria

Bawa Israel Ke Muka Pengadilan - Mukhriz

SEPANG: Penasihat Yayasan Keamanan Sedunia Perdana Malaysia (PGPF) Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata siasatan rapi perlu dibuat untuk membawa Israel ke muka pengadilan atas kesalahan jenayah perang.

Merujuk kepada serangan berdarah Israel ke atas Gaza bulan lepas, beliau berkata wilayah Palestin itu bukan hanya diserang secara ketenteraan malah wujud tanda-tanda ia menghadapi serangan secara senyap apabila bekalan air dicemari bahan toksik tertentu.

"Rakyat Gaza sukar mendapat bekalan makanan, ubat, elektrik dan air sejak Israel menutup pintu-pintu sempadan Gaza mengakibatkan krisis kemanusiaan yang dahsyat," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Khamis selepas mengunjungi Gaza.

Mukhriz telah menyerahkan, antara lain, bekalan perubatan sempena misi kemanusiaan PGPF ke Gaza itu.

Beliau turut menarik perhatian sumber perikanan penduduk Gaza dilaporkan tercemar akibat bahan buangan Israel disalurkan terus ke laut.

"Sumber ikan di sekitar laut Gaza tidak selamat untuk dimakan," katanya sambil menambah sistem pembentungan turut dimusnahkan.

Dalam pada itu, beliau berkata penderitaan rakyat Palestin bukan hanya mendapat perhatian negara Islam malah turut menyentuh hati masyarakat lain di dunia. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain