suria

Tarikh Istimewa 12.12.12 Jadi Pilihan Pasangan Muda Melangsungkan Perkahwinan

Seramai 20 pasangan diarak dengan beca dari Hotel Cititel, Jalan Penang ke Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kapitan Keling bagi melangsungkan majlis pendaftaran perkahwinan mereka di George Town, Pulau Pinang, Rabu. Majlis berkenaan dianjurkan oleh hotel berkenaan sempena dengan tarikh 12.12.12 yang akan menjelang hanya sekali dalam seratus tahun. --fotoBERNAMA
Seramai 20 pasangan diarak dengan beca dari Hotel Cititel, Jalan Penang ke Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kapitan Keling bagi melangsungkan majlis pendaftaran perkahwinan mereka di George Town, Pulau Pinang, Rabu. Majlis berkenaan dianjurkan oleh hotel berkenaan sempena dengan tarikh 12.12.12 yang akan menjelang hanya sekali dalam seratus tahun. --fotoBERNAMA
Seramai 20 pasangan diarak dengan beca dari Hotel Cititel, Jalan Penang ke Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kapitan Keling bagi melangsungkan majlis pendaftaran perkahwinan mereka di George Town, Pulau Pinang, Rabu. Majlis berkenaan dianjurkan oleh hotel berkenaan sempena dengan tarikh 12.12.12 yang akan menjelang hanya sekali dalam seratus tahun. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Lazimnya pernikahan diadakan pada hujung minggu atau cuti umum, namun keunikan tarikh 12.12.12 menyebabkan ramai memilih untuk bergelar suami isteri hari ini sekalipun jatuh pada pertengahan minggu.

Di GOMBAK 16 pasangan muda melangsungkan pernikahan mereka secara beramai-ramai pada satu majlis yang dikendalikan lima jurunikah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), disaksikan kira-kira 1,000 tetamu.

Berkongsi kegembiraan pada hari bersejarahnya, Faiz Hussamuddin, 24, berkata beliau dan isteri Tengku Norhanim Tengku Othman, 22, menganggap tarikh itu bukan sahaja unik tetapi juga mudah diingati bagi meraikan ulang tahun perkahwinan mereka kelak.

"Kami memang memilih untuk bernikah pada tarikh ini kerana unik dan sangat istimewa sebab hanya berlaku setiap 100 tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, dekat sini.

Beliau juga mengabadikan angka 12 menerusi mas kahwin berjumlah RM12,121.20. Bagi Faizul Naszren Mohd Shaharuddin, 22 dan pasangannya Nur Raihan Che Nawi, 26, mereka tidak menjangka akan bergelar suami isteri pada tarikh itu.

"Sebenarnya saya tidak menjangka laluan untuk berumahtangga itu dipermudahkan kerana selepas kami bertunang pada 31 Ogos lepas, kami mendapat tawaran daripada pengurusan Masjid Al-Khairiyah untuk melangsungkan pernikahan secara beramai-ramai pada tanggal 12.12.12, dan kami sangat bersyukur," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin berkata majlis pernikahan beramai-ramai tersebut merupakan antara landasan terbaik bagi meringankan beban kewangan pasangan muda kerana kos perkahwinan sekarang agak tinggi.

"...dalam keadaan sekarang ini untuk melangsungkan walimatulurus RM10,000 tidak cukup, maka melalui majlis seperti ini boleh membantu meringankan beban keluarga dan pasangan yang ingin berkahwin," katanya yang merasmikan majlis pernikahan tersebut. Beliau berkata selain 16 pasangan yang bernikah di masjid Al-Khairiyah itu, terdapat 10 pasangan bernikah di daerah Klang dan enam pasangan lagi bernikah di Hulu Selangor.

Menyentuh mengenai penganjuran majlis, Nazir Masjid Al-Khairiyah Mohd Rozi Salleh berkata masjid itu membelanjakan RM15,000 meliputi makanan, pelamin, khemah dan barangan cenderahati kepada tetamu.

Di GEORGE TOWN, 12 pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka menerusi majlis anjuran Jabatan Pendaftaran Negeri.

Pengarahnya, Sariff Ayob berkata pada majlis bertema 'Sehati Sejiwa' itu pasangan terbabit didaftar tiga petugas dan mereka turut menerima cenderahati daripada jabatan itu.

"Majlis sempena tarikh-tarikh istimewa ini diadakan setiap tahun bagi meraikan pengantin yang memilih tarikh seumpama itu," katanya pada majlis tersebut. Sementara itu pasangan pengantin yang ditemui, Erwan Sutanto Tjin, 29 berkata beliau dan isterinya, Goh Ee Jye, 25 percaya jalinan angka menarik itu bukan sahaja mudah diingati tetapi juga simbolik permulaan kehidupan baharu mereka berdua.

"Tarikh hari ini sangat istimewa kerana kami menjalin hubungan cinta secara serius juga pada bulan 12 (Disember) tahun lalu," katanya.

Bagi pasangan L. Joshua, 23 dan S. Jennitha, 25 mereka berasa bertuah kerana dapat mengakhiri zaman bujang pada tarikh angka berkembar terakhir pada abad ini. "Dekat dua tahun juga kami tunggu untuk kahwin pada tarikh ini. Tak sangka JPN (Jabatan Pendaftaran Negeri) akan meraikan kami dalam majlis khas sebegini," katanya. Sementara itu, Hotel Cititel Penang dengan kerjasama Penang Town Chinese Hall, Dewan Perniagaan Cina Pulau dan De Santia Bridal House turut meraikan 20 pasangan pengantin baharu di sini.

Pengantin bertuah itu diarak dengan beca mengelilingi pusat bandar sebelum mendaftar perkahwinan di JPN hari ini.

JOHOR BAHARU, 55 pasangan pengantin daripada pelbagai kaum diraikan dalam Program Pengantin 1 Malaysia di Tasik Merdeka di sini.

Presiden Persatuan Theng Chuan Tan Clan, Datuk Tan Liang Soong berkata program tahunan itu adalah untuk memperkasakan lagi perpaduan dan kesepakatan pelbagai kaum di negara ini.

"Untuk tahun ini kita memilih tarikh 12. 12. 2012 merupakan satu identiti kepada majlis ini malah untuk menjadi satu tanda kepada perkahwinan 1Malaysia," katanya kepada pemberita.

Program yang dianjur dengan kerjasama Majlis Perbandaran Johor Bahru itu dirasmikan Datuk Bandar Johor Baharu, Burhan Amin.

Pada majlis itu 52 pasangan pengantin berbangsa Cina, dua pasangan pengantin Melayu dan sepasang pengantin India diraikan. -BERNAMA

Artikel Lain