suria

Syarikat Kontraktor Binaan Kejadian Banglo Runtuh Didenda RM10,000

SHAH ALAM: Syarikat kontraktor binaan yang melakukan kerja pengubahsuaian di sebuah banglo di Seksyen 7 di sini, di mana seorang pekerja terbunuh akibat bumbung konkrit runtuh Oktober lepas, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Rabu.

Syarikat Sara Design Studio dijatuhi hukuman itu selepas pengarahnya, Ng Bee Choo, 42, mengaku bersalah atas kesalahan tidak memiliki perakuan pendaftaran sah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk melakukan kerja itu.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar turut memerintahkan wakil syarikat terbabit dihukum penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Syarikat itu, yang terletak di D-Bayu, 8-G, Jalan Serambi U8/24, Taman Bukit Jelutong di sini didakwa melakukan kerja pengubahsuaian sebuah banglo dua tingkat di No.15, Jalan Jed 7/5, Seksyen 7 di sini yang dimiliki seorang ahli perniagaan, Ab Razak Ab Rahman, 53, tanpa memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah dikeluarkan CIDB pada 18 Okt lepas.

Ia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29 akta sama, yang memperuntuk denda tidak melebihi RM50,000.

Dalam kejadian itu, seorang buruh binaan warganegara Indonesia, Totok Mochamd Anthony, maut manakala lima lagi parah selepas sebahagian bumbung konkrit banglo mewah itu runtuh.

Seorang daripada mangsa putus kaki kanannya sementara 10 lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika kesemua 16 pekerja binaan terbabit sedang melakukan kerja pengubahsuaian di bahagian dalam dan aras atas banglo dua tingkat itu.

Terdahulu, peguam mewakili Ng, Jeremy Phang meminta mahkamah menimbangkan denda rendah atas alasan pengakuan anak guamnya itu yang juga pemilik syarikat terbabit menjimatkan kos prosiding mahkamah.

Beliau turut berkata Ng yang merupakan orang kena saman dalam kes ini terpaksa menyara dua anaknya yang masing-masing berumur empat dan tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Penguatkuasaan CIDB, Abdul Razak Husin. BERNAMA

Artikel Lain