suria

Pinda Undang-Undang Berkaitan Daun Ketum - Senator

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri sekali lagi digesa meminda undang-undang berkaitan penyalahgunaan daun ketum daripada Akta Racun 1952 kepada Akta Dadah Merbahaya.

Senator Mohd Khalid Ahmad turut meminta perkara yang sama dilakukan terhadap perbuatan menghidu gam agar tidak terus merosakkan golongan remaja negara ini. "Penagih menjadikan air rebusan daun ketum sebagai alternatif murah memenuhi nafsu mereka. Kajian Pengasih (Persatuan Pengasih Malaysia) juga mendapati air ketum dicampur dengan minuman untuk meningkatkan tenaga. "Ia dah jadi amalan untuk orang lain dan boleh membawa mudarat kalau diambil berulang kali secara berterusan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada Persidangan Dewan Negara di sini, Rabu.

Gesaan mengkaji semula undang-undang berhubung penyalahgunaan daun ketum sudah beberapa kali ditimbulkan badan bukan kerajaan seperti Pengasih dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam). Mohd Khalid dalam pada itu menyifatkan jumlah denda tidak lebih RM10,000 dan penjara maksimum empat tahun di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun bagi penyalahgunaan daun ketum sebagai rendah.

Beliau turut membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa meminum air daun ketum boleh menurunkan tekanan darah tinggi dan merawat penyakit lain.

"Kalau betul, kenapa pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha 2012) yang lepas tiada pameran mengenai daun ketum seperti tongkat ali dan kacip fatimah," katanya.

Beliau menyarankan Malaysia mencontohi Thailand yang mengharamkan rakyatnya memiliki dan menanam daun ketum. -BERNAMA

Artikel Lain