suria

Permintaan 4,500 Majikan Tangguh Laksana Had Umur Bersara Swasta Masih Diteliti

LUMUT: Kementerian Sumber Manusia masih meneliti permintaan 4,500 syarikat dan majikan yang meminta kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan had umur persaraan 60 tahun sektor swasta yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2013.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, permintaan itu turut akan dibincangkan dengan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Tenaga Kerja.

"Kita sedia mempertimbangkan permintaan tersebut dan sedia berunding dengan mereka yang telibat sekiranya perlu sebelum keputusan muktamad dibuat," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen 2012 Marine Technology Academy (MTA), Boustead Naval Shipyard (BN Shipyard) Sdn Bhd, di sini Selasa.

Akta Umur Persaraan Minimum 2012 menetapkan umur persaraan minimum pekerja sektor swasta ialah 60 tahun, dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.

Pada masa sama, akta itu tidak menghalang seseorang pekerja memilih untuk bersara awal, berdasar apa yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian bersama (CA).

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata, kira-kira 30,000 orang tenaga mahir dalam pelbagai bidang berjaya dilatih sepanjang enam tahun lepas menerusi Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, kira-kira 2,000 syarikat telah menyertai program SLDN tersebut dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 195 buah syarikat tersebut terdiri daripada mereka yang beroperasi di negeri sebelah utara Semenanjung. Peningkatan bilangan syarikat yang menyertai SLDN menunjukkan mereka kini yakin dengan kualiti pekerja yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain