Kastam Patahkan Cubaan Seludup Gading Gajah Bernilai RM60 Juta - Semasa | mStar

Kastam Patahkan Cubaan Seludup Gading Gajah Bernilai RM60 Juta

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup gading gajah terbesar di negara ini membabitkan nilai rampasan RM60 juta di Pelabuhan Utara di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, gading yang dibawa dari Togo, Afrika itu ditemui disorok di dalam 10 buah bongkah kayu yang disimpan di dalam dua buah kontena yang didakwa mengandungi 'wooden floor tiles Acajou'.

Katanya, pemeriksaan mendapati di dalam bongkah kayu itu terdapat ruangan khas yang dipenuhi dengan 1,500 batang gading gajah seberat 24,000kg yang merupakan dagangan dilindungi pergerakannya di bawah Lampiran 1, Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna (CITES) yang melarang sebarang perdagangan komersil ke atas gading gajah.

"Ini merupakan rampasan ketiga untuk Kastam Selangor dan yang terbesar di Malaysia," katanya dalam sidang media di sini Selasa.

Azis berkata, kedua-dua kontena itu dimuatkan dengan dagangan tersebut di Pelabuhan Lome, Togo, Afrika dan dipunggah ke kapal 'Marivia' seterusnya belayar ke Pelabuhan Algeciras, Sepanyol sebelum dipindahkan sekali lagi ke kapal 'CMA CGM Titus' dan belayar ke Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, berdasarkan dokumen perkapalan, Pelabuhan Klang ialah pelabuhan terakhir bagi kedua-dua kontena tersebut dan sebuah syarikat tempatan dinamakan sebagai 'Notify Party'.

"Bagaimanapun berdasarkan maklumat risikan, kedua-dua kontena itu akan dipindah ke kapal lain dan akan dibawa ke China. Gading gajah berkenaan dipercayai dibawa ke sana untuk menghasilkan barang perhiasan," katanya.

Azis berkata, pihaknya sedang menyiasat syarikat terbabit yang bertanggungjawab menguruskan dua kontena berkenaan di bawah Lampiran 1, CITES dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat ikrar tidak benar ke atas dagangan.

Beliau berkata, mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dengan penyeludupan dagangan itu boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Azis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan yang diketahui dengan menghubungi pejabat kastam berdekatan.

Segala maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau ke Bahagian Pencegahan Selangor melalui talian 03-31792321. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain