suria

333 Permohonan Dana Khas Usahawan Sehingga 21 Nov Lepas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 333 permohonan bernilai RM13.87 juta daripada Dana Khas untuk usahawan India diluluskan sehingga 21 Nov lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 584 permohonan yang diterima sejak dana khas berjumlah RM180 juta untuk membantu usahawan India itu diumum kerajaan pada 9 Jun lepas.

"Dana ini disalurkan kepada usahawan dalam bentuk rebat keuntungan, pinjaman dan program pembinaan keupayaan," katanya menjawab soalan Senator Datuk S.Nallakaruppan yang ingin tahu bilangan kaum India yang memohon bantuan pinjaman industri kecil dan sederhana melalui SME Corp dan jumlah yang diluluskan.

Pengumuman peruntukan dana itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu usahawan India membangunkan kapasiti syarikat dan memperoleh modal kerja.

Jacob berkata dana khas itu diharap dapat mendorong lebih ramai kaum India berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan lebih kompetitif. BERNAMA

Artikel Lain