suria

Taib Yakin Perkhidmatan Kastam Ambil Kira Peranan Score

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yakin perancangan Jabatan Kastam Sarawak melalui perkhidmatan pungutan hasil serta kemudahan perdagangan dan perindustrian akan mengambil kira peranan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) sebagai pusat eksport semula bahan mentah di rantau ini.

Beliau berkata kawasan Score, termasuk Bintulu dan Samalaju, akan mengeluarkan bahan mentah, seperti logam bercampuran aloi, untuk dieksport semula ke pasaran dunia nanti.

"Ini akan merupakan beribu-ribu juta ringgit kepada hasil eksport negeri Sarawak pada masa akan datang dan Jabatan Kastam tentu akan memberi kemudahan dan perkhidmatan yang sesuai di tempat seperti Score," katanya ketika merasmikan pejabat Kastam Sarawak bernilai RM30.5 juta di Petra Jaya di sini pada Selasa.

Kini Jabatan Kastam Sarawak mempunyai 1,147 orang penjawat, yang bertugas di enam stesen utama di Kuching, Sibu, Miri, sarikei, Bintulu dan Limbang selain di 10 stesen kecil serta tujuh pos sempadan.

Pendekatan jabatan tersebut terhadap perubahan zaman adalah cukup baik dalam menjalankan kegiatan kawalan dan penguatkuasaan memungut cukai yang tidak mudah, terutamanya di sepanjang sempadan serta tepi laut negeri Sarawak, yang luas, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata Kastam Sarawak berjaya memungut sebanyak RM776.25 juta, iaitu sumbangan sebanyak 2.56 peratus, daripada pungutan hasil seluruh negara berjumlah RM30.36 bilion, termasuk duti eksport, cukai perkhidmatan dan duti eksais, sehingga 9 Dis, tahun ini.

Beliau berkata bahagian jabatan berkenaan turut berjaya merampas barangan seludup bernilai RM5.34 juta melibatkan cukai berjumlah RM16.92 juta sepanjang Januari hingga November 2012, dengan rokok merupakan komoditi utama bernilai RM1.31 juta serta cukai RM12.13 juta diikuti minuman keras bernilai RM1.24 juta dan cukai RM3.85 juta.

Pada tempoh yang sama, beliau berkata, hasil operasi kawalan di pintu masuk negara, Kastam Sarawak merampas barangan bernilai RM570,780 melibatkan cukai RM110.65 juta di Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu dekat sini, termasuk gula, beras, daging sejuk beku, kain batik dan minumman keras.

Keseluruhannya, sebahagian besar daripada kejayaan yang diperolehi adalah hasil dan aktiviti mencegah penyeludupan yang dibuat secara berterusan dan bersepadu seperti operasi outlet, rondaan darat, sekatan jalan raya serta pemeriksaan rapi ke atas kontena di pelaburan, katanya.

Beliau berkata jabatan itu juga mendapati aktiviti penyeludupan banyak berlaku menjelang sambutan perayaan utama, seperti Tahun Baru Cina memandangkan permintaan yang tinggi ke atas barangan seludup. BERNAMA

Artikel Lain