suria

Pembantu Tadbir Terima Sembilan Jahitan Selepas Ditetak Penyamun

KUANTAN: Seorang wanita cedera ditetak sebelum disamun oleh pemandu kereta prebet sapu yang dinaikinya untuk ke tempat kerja di Kampung Bongsu dekat Lanchang, Temerloh pada Isnin.

Akibat tetakan dengan parang itu, wanita berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu menerima sembilan jahitan di lengan kirinya.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, wanita berkenaan menahan sebuah kereta prebet sapu di sebuah perhentian bas untuk ke tempat kerja.

Beliau berkata, semasa dalam perjalanan, pemandu kereta berkenaan tiba-tiba memberhentikan kenderaannya di tepi jalan berhampiran masjid Kampung Bongsu dan memberitahu mangsa keretanya kekurangan air.

"Dia turun dan membuka bonet hadapan Perodua Kancil itu. Beberapa minit kemudian, mangsa terkejut apabila melihat suspek memegang sebilah parang meluru masuk ke dalam kereta dan cuba menetaknya.

"Mangsa cuba menahan dan parang suspek terkena lengan kirinya," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata, sambil mengacukan parang ke arah mangsa, lelaki itu merampas beg tangan, gelang tangan dan telefon bimbit milik mangsa sebelum memandu semula keretanya dengan membawa mangsa bersama.

Wanita itu kemudian diturunkan di tepi jalan dekat Kampung Sempadan kira-kira 8 kilometer dari tempat kejadian dan mangsa menahan sebuah teksi untuk ke klinik berhampiran serta membuat laporan polis, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain