suria

Kerajaan Terbuka Terima Penubuhan Pusat Meditasi Islam - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada asasnya bersetuju dengan penubuhan Pusat Mediasi Islam untuk menyelesaikan kes pertikaian membabitkan orang Islam secara efektif, cepat dan murah sebagaimana dicadangkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pada masa ini perkhidmatan mediasi secara kursus bagi kes-kes kekeluargaan yang melibatkan orang Islam dilaksanakan di seluruh Mahkamah Syariah sejak 2003, dikenali sebagai Majlis Sulh.

"Namun begitu, perkhidmatan Majlis Sulh ini hanya tertakluk kepada kes-kes yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sahaja.

"Oleh itu Mahkamah Syariah terbuka menerima perjanjian atau penyelesaian yang dibuat oleh pihak-pihak yang bertikai hasil proses mediasi sama ada di Jabatan Bantuan Guaman atau mana-mana agensi termasuk para peguam," katanya ketika menjawab soalan Senator Zaitun Mat Amin berkenaan sejauh mana kerajaan bersetuju dengan penubuhan Pusat Mediasi Islam.

Beliau berkata penubuhan pusat itu juga bukan bermakna terdapat banyak kes pertikaian di Mahkamah Syariah yang tertangguh dan masih tidak menemui jalan penyelesaian.

"PPMM juga mahu mereka diberi peranan dan kita amat alu-alukan penyertaan ini, sekurang-kurangnya ada wakil perantara pihak NGO atau swasta selain Majlis Sulh," katanya.

Katanya penubuhan pusat ini juga dianggap satu kelebihan terutama bagi membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti kes berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga-tiga kes itu.

"Selagi penyelesaian atau penjanjian tersebut masih memenuhi syarat-syarat hukum syarak, Mahkamah Syariah bersetuju menerima penyelesaian hasil dari proses oleh pusat mediasi itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain