suria

Biografi Rosmah Mansor Wadah Betul Untuk Tangkis Tohmahan - Dr M

KUALA LUMPUR: Buku biografi isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang bakal berada di pasaran dalam waktu terdekat, merupakan wadah yang betul untuk isteri perdana menteri menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Rosmah berhak untuk membuat pembetulan terhadap semua isu-isu negatif mengenai dirinya yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Beliau (Rosmah) bukannya berprofil tinggi. Hanya orang-orang tertentu menjadikan beliau seorang individu berprofil tinggi dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan beliau berhak untuk menjawab.

"Walaupun beliau adalah isteri perdana menteri, ini tidak bermakna yang beliau perlu berdiam diri terhadap pelbagai tuduhan," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pemerolehan Teknologi dan Aset bernilai RM63 juta antara Proton Holdings Bhd dan Petronas Bhd, di sini Selasa.

Pada Isnin, majlis prapelancaran biografi itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang diiringi Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Buku setebal 164 muka surat itu dan berharga RM150 senaskhah ditulis oleh Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak.

Ia akan dilancarkan dan diedar untuk jualan bulan depan. - BERNAMA

Artikel Lain