suria

Beratus Ribu Iklan Tanpa Lesen Dihapuskan DBKL Dari Januari- Oktober

KUALA LUMPUR: Sebanyak 955,548 unit iklan tanpa lesen di sekitar ibu kota telah dihapuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding kira-kira 500,000 unit iklan yang dimusnahkan tahun lepas.

"Bentuk tindakan yang dijalankan adalah melalui penurunan iklan, memadam dengan menggunakan cat serta mengikis pelekat yang merupakan tindakan berterusan DBKL bagi memastikan bandar raya Kuala Lumpur sentiasa bersih daripada iklan tanpa lesen," katanya ketika menjawab soalan Senator Baharudin Abu Bakar mengenai kebanjiran iklan haram.

Raja Nong Chik berkata dalam tempoh sama, DBKL mengeluarkan 470 notis kesalahan yang membabitkan kesalahan mempamer iklan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982.

Selain itu, katanya DBKL mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menamatkan perkhidmatan nombor telefon yang dipaparkan pada iklan-iklan haram berkenaan.

"Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 726 nombor telefon telah dikemukakan kepada SKMM untuk tindakan penamatan perkhidmatan," katanya.

Sebagai langkah memperkemas dan mengurangkan pengiklanan melalui kaedah konvensional yang banyak memberi masalah terutama kepada kebersihan dan keindahan bandar raya, Raja Nong Chik berkata DBKL melalui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) turut memperkenal kaedah pengiklanan melalui papan iklan elektronik (e-Bunting).

"Selaras dengan penggalakan penggunaan e-bunting ini, kementerian dan YWP sedang menyediakan garis panduan untuk menimbangkan pemberian insentif tertentu kepada Industri Kecil dan Sederhana yang menggunakan e-bunting untuk mempromosi produk mereka," katanya.

Ketika menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader mengenai tindakan kerajaan menangani masalah parkir motosikal, Raja Nong Chik berkata DBKL sentiasa mencari ruang yang sesuai terutama di kawasan tumpuan seperti bank, pasar raya dan pejabat.

Pada masa ini, terdapat 4,217 ruang tempat letak motosikal disediakan di 97 tempat di sekitar pusat perdagangan.

Mengenai aspek keselamatan, Raja Nong Chik berkata DBKL turut menyediakan tempat letak motosikal berkunci di beberapa lokasi bagi mengelak kecurian, namun ia kurang digunakan orang ramai.

"Oleh itu, DBKL menangguhkan sementara pemasangan tempat letak motosikal berkunci di tempat lain," katanya. BERNAMA

Artikel Lain