suria

Suspek Pengedar Dadah Mati Selepas Lontar Bom, Berbalas Tembakan Dengan Polis

Seorang lelaki berusia 42 tahun dipercayai pengedar dadah mati selepas melontarkan sebutir bom tangan dan berbalas tembakan dengan anggota polis berhampiran persimpangan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai, Perak, Isnin. Sepasukan anggota polis menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian. - fotoBERNAMA

IPOH: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah mati selepas melontarkan sebutir bom tangan dan berbalas tembakan dengan anggota polis berhampiran persimpangan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort, di Bagan Serai, dekat sini, pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata dalam kejadian 10.30 pagi itu, suspek yang berusia 42 tahun itu bertindak melarikan diri dari rumahnya di Kampung Dew di Simpang Empat, Semanggol dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord, selepas menyedari kehadiran sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Taiping.

"Ekoran itu, polis bertindak mengejar suspek sejauh 25 kilometer sebelum berjaya memintasnya di persimpangan itu dan meminta suspek agar menyerahkan diri," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Bagaimanapun, Mat Fauzi berkata suspek bertindak agresif lalu melepaskan beberapa das tembakan dan melontarkan sebutir bom tangan ke arah kereta peronda lebuh raya polis yang turut memburu suspek. Namun, bom itu gagal berfungsi.

Katanya, suspek mati di tempat kejadian semasa berbalas tembakan dengan pasukan polis.

Hasil siasatan ke atas kereta suspek, polis menemui dua pucuk pistol, peluru, pisau serta sejumlah dadah di dalam keretanya, kata Mat Fauzi.

Beliau berkata bom tangan yang gagal meletup itu telah dimusnahkan pada 2 petang oleh Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak selepas kawasan kejadian dikosongkan.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain