suria

Suhakam Terima Baik Jaminan PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menerima baik jaminan Perdana Menteri untuk meningkatkan pembaharuan yang lebih demokratik sebagai respons positif dan konstruktif kepada pertumbuhan tuntutan kebebasan sivil yang semakin bertambah.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata usaha-usaha reformasi kerajaan yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak seperti pemansuhan beberapa undang-undang lama dan penggubalan beberapa akta amat dialu-alukan.

"Pemansuhan semua undang-undang Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 serta penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 amat dialu-alukan.

"Selain itu, Suhakam mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen Tetap mengenai hak asasi manusia sebagai satu mekanisme penting dalam mempertimbangkan isu-isu hak asasi manusia di kalangan ahli-ahli Parlimen.

"Ia sekali gus dapat mengukuhkan lagi proses demokrasi berparlimen di negaraini," katanya ketika berucap pada majlis anugerah Hak Asasi Manusia 2012 sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia di sini Isnin.

Beliau berkata tema sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada tahun ini iaitu 'Suara Saya Diambilkira - Rangkuman Hak Untuk Menyertai Kehidupan Masyarakat' amatlah bertepatan lebih-lebih lagi dengan perkembangan isu-isu semasa yang berlaku di dalam mahupun di luar negara.

"Setiap orang mempunyai peranan dalam membentuk komuniti sama ada penyertaan dalam bidang ekonomi, jawatan awam mahupun mengambil bahagian dalam proses membentuk kerajaan melalui pilihan raya," kata Hasmy.

Beliau berkata Suhakam mengakui bahawa keamanan dan kestabilan negara adalah penting dalam menjaga ketenteraman awam.

"Dalam usaha kerajaan untuk mencapai sebuah negara demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suhakam turut menyeru semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain