suria

Pasukan Petugas Khas Tangani Isu Pemandu Pelancong - Yen Yen

PUTRAJAYA: Satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi 10,000 pemandu pelancong di seluruh negara, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (gambar).

"Tujuan pasukan petugas tersebut adalah untuk menyediakan satu platform untuk pemandu pelancong mengemukakan rungutan mereka terus kepada kementerian.

"Ini akan membolehkan kementerian membuat penyelarasan dengan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk menangani isu-isu dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog di sini dengan peserta industri, Isnin.

Beliau berkata pasukan petugas itu, yang diketuai oleh setiausaha agung kementerian dan terdiri daripada wakil persatuan pelancongan dan agensi kerajaan berkaitan, akan mengadakan mesyuarat pertamanya minggu depan.

Beliau memetik contoh pemandu pelancong yang inginkan perlindungan Perkeso dan warga asing yang bekerja sebagai pemandu yang mana isu-isu yang timbul biasanya dikendalikan secara berasingan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen.

"Walau bagaimanapun, pasukan petugas akan membantu mengurangkan kerenah birokrasi kerana wakil agensi-agensi berkaitan akan dijemput mengambil bahagian dalam mesyuarat," katanya.

Beliau berkata langkah itu akan menyelaraskan industri dengan lebih baik memandangkan negara bersedia menjadi tuan rumah sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Sejumlah 11.6 juta pelancong melawat negara ini untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini dan menghabiskan sejumlah RM26.8 bilion.

Artikel Lain