suria

Mayat Jurutera Ditemui Dengan Kesan Hentakan Di Kepala

SHAH ALAM: Mayat seorang jurutera komputer ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan hentakan di kepala di rumahnya, di Putra Perdana, Sepang, dekat sini petang Ahad.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata mangsa, Low Min Lee, 36, yang bekerja di sebuah syarikat elektronik di Cyberjaya, ditemui mati oleh abangnya pada 6 petang.

Katanya selain kesan hentakan, badan mangsa turut mempunyai beberapa kesan kecederaan dan lebam dipercayai akibat pergelutan dan dipercayai telah mati 24 jam, sebelum ditemui.

"Siasatan mendapati beberapa barangan berharga milik mangsa turut hilang termasuk kereta jenis Toyota Vios berwarna perak bernombor pendaftaran BKG 2570 selain sebuah televisyen LCD, telefon bimbit dan dompet," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan samun dan bunuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Baalo Muniappan di talian 012-3663614 atau balai polis berhampiran, bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain