suria

Kesedaran Peniaga Islam Terhadap Keperluan Sijil Halal Masih Rendah - Mashitah

KUALA LUMPUR: Kesedaran dalam kalangan peniaga Islam untuk mendapatkan sijil halal yang sah masih berada pada tahap yang rendah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kebanyakan peniaga yang beragama Islam mempunyai anggapan dalam fikiran mereka, jika kita adalah orang Islam, kita tidak perlu mendapatkan sijil halal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penguatkuasaan Undang-undang Berkaitan Halal di sini Isnin.

Sebaliknya, kata beliau, perangkaan menunjukkan bilangan peniaga bukan Islam memiliki sijil halal adalah lebih tinggi iaitu kira-kira 70 peratus daripada pemegang sijil halal yang sah kalangan peniaga bukan Bumiputera.

Beliau berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi peniaga beragama Islam mendapatkan sijil halal yang sah bukan sahaja untuk produk makanan tetapi juga kosmetik, pakaian dan sebagainya.

Mashitah berkata bermula 1 Januari 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat pengeluar dan pengedar makanan atau barang yang menggunakan logo selain logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jakim.

"Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada peniaga dan pihak industri yang gagal mempamer logo halal yang sah dan kita berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku penyalahgunaan logo halal itu," katanya.

Ditanya mengenai Jakim meletakkan syarat-syarat yang terlalu ketat untuk mendapatkan sijil halal yang sah, Mashitah berkata terdapat prosedur pensijilan halal yang harus dipatuhi oleh peniaga agar sijil itu dipercayai orag ramai.

"Makanan halal perlu bebas daripada bersentuhan dan berdekatan dengan benda haram dan najis dalam Islam semasa peringkat penyediaan, pemprosesan dan penyimpanan.

"Justeru, bagi mendapatkan pensijilan Halal Malaysia bukan sahaja halal tetapi juga toyyiban iaitu bersih, suci dan berkualiti tinggi supaya integriti pensijilan Halal itu sentiasa terpelihara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Seminar yang dihadiri kira-kira 150 orang terdiri daripada pihak industri dan wakil Jabatan Agama Islam Negeri bertujuan memartabat dan mengharmoni penguatkuasaan undang-undang berkaitan halal ke arah menjadikan Malaysia sebagai hub halal di dunia. - BERNAMA

Artikel Lain