suria

Jabatan Imigresen Nafi Dakwaan Serbuan Hanya Dikaitkan Papa

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen pada Isnin menafikan dakwaan mengenai agensi itu hanya membuat serbuan terhadap agensi pekerja asing yang enggan berdaftar dengan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, dalam kes berkaitan dengan pembantu rumah asing, pihaknya bertindak setelah menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti itu.

“Tidak timbul hubungan baik dengan Papa kerana Jabatan Imigresen turut bekerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain termasuk Pikap (Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia),” katanya kepada mStar Online menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS) pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Isnin yang melaporkan sebuah NGO, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menuntut penjelasan Jabatan Imigresen sama ada benar dakwaan serbuan hanya dibuat terhadap agensi pekerja asing yang enggan berdaftar dengan Papa.

Alias berkata, Jabatan Imigresen bersikap keterbukaan dan adil dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih cekap.

“We do our job without fear and favour. (Kami bertugas tanpa gentar dan pilih kasih),” kata beliau lagi.

Menurut laporan akhbar berkenaan, Pengarah Kebangsaan JMM, Noraini Abdul Khalil Saferi yang dipetik sebagai berkata, penjelasan itu berikutan pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan perkara tersebut.

Menurut Noraini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen wajar menjelaskan dengan segera mengenai kebenaran dakwaan bahawa agensi itu mempunyai hubungan rapat dengan Papa.

Mengenai isu pembantu rumah asing, Jabatan Imigresen menerusi cawangan Pelabuhan Klang baru-baru ini menyelamatkan 105 wanita warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas diperdaya oleh sebuah agensi pekerja asing.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7.45 pagi itu mendapati kesemua wanita berusia antara 18 dan 25 tahun itu dikurung di tingkat tiga dan empat premis berkenaan yang terletak di sebelah atas syarikat agensi pembantu rumah terbabit.

Artikel Lain