suria

Gerakan Mencari Pegawai Dikhuatiri Lemas Di Empangan Tidak Jejaskan Bekalan Air

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP)akan menghentikan sementara pengambilan air mentah dari Empangan Teluk Bahang untuk dirawat di Loji Rawatan Air Batu Ferringhi sehingga operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang dikhuatiri lemas di empangan itu selesai.

Pengurus besarnya, Jaseni Maidinsa, berkata sehubungan itu, PBAPP akan membekalkan air yang diambil dari kawasan tadahan air Batu Ferringhi dan dirawat di Loji Rawatan Air Batu Ferringhi.

Katanya apabila kejadian itu berlaku, arahan dikeluarkan kepada petugas pengeluaran perbadanan itu supaya menghentikan pengambilan air dari Empangan Teluk Bahang.

"Sekarang, kami mengambil air dari kawasan tadahan Batu Ferringhi untuk membekalkan air ke wilayah utara, khususnya dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang...untuk sementara, sehinggalah perkara ini selesai...sehingga mereka menjumpai mangsa berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Semalam, seorang pembantu teknik Pertandingan Lumba Perahu Naga Pulau Pinang dikhuatiri lemas ketika berenang di Empangan Teluk Bahang dekat sini.

Jacob Issac Fletcher, 19, dikatakan terjun dari pelantar permulaan perlumbaan itu pada kira-kira pukul 1 tengah hari semalam dan berenang untuk seketika sebelum hilang di empangan sedalam 46.4 meter itu.

Operasi mencari dan menyelamat sedang diadakan.

Jaseni berkata PBAPP akan memantau kualiti air dan memberi jaminan kepada pengguna bahawa bekalan air untuk kawasan utara Pulau Pinang, dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, tidak terjejas.

Katanya kualiti air terawat dipantau sepanjang masa untuk memastikannya mematuhi Garis Panduan Air Minuman Kebangsaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. "Kami hanya membekal air yang selamat dan boleh diminum kepada pelanggan kami di Pulau Pinang," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak menghampiri tempat kejadian untuk memastikan gerakan mencari dan menyelamat berjalan lancar. -BERNAMA

Artikel Lain