suria

MIC Janji Beri Kemenangan Besar Kepada BN - Palanivel

KUALA LUMPUR: MIC berjanji akan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan sokongan hebat masyarakat India kepada parti itu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju pentadbiran negara pada 2009.

Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel berkata sokongan masyarakat India terhadap parti pemerintah itu semakin kuat setelah mereka menerima pelbagai manfaat, terutama dalam bidang pendidikan dan melalui program pembangunan perkhidmatan awam, ekonomi dan sosial yang diperkenalkan Najib.

"Sehingga 2004, undi kami merupakan simpanan tetap. Bagaimanapunn, kami kehilangan simpanan tetap itu pada 2008. Kini, kami beri jaminan bahawa simpanan tetap ini akan menyokong perdana menteri.

"Hari ini, masyarakat India sedar bahawa hanya kerajaan BN dan perdana menteri yang mampu membentuk masa depan mereka.

"Undi kaum India penting untuk BN dan sejajar dengan itu, MIC boleh membawa kembali sekurang-kurangnya 600,000 undi untuk BN," kata beliau dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan setiausaha agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata masyarakat India sentiasa menganggap Najib sebagai pemimpin istimewa yang mampu meningkatkan kedudukan sosial dan ekonomi mereka.

Beliau berkata masyarakat India akan dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera hanya di bawah kepimpinan Najib kerana beliau memahami keperluan masyarakat itu.

"Undi kita memberi makna, undi kita penting, undi kita merupakan satu kelompok. MIC merupakan satu-satunya parti yang benar-benar mewakili kepentingan dan hak masyarakat India di negara ini," kata beliau.

Palanivel menegaskan bahawa kesetiaan masyarakat India kepada negara tidak boleh dipersoal, walaupun anggotanya mungkin bersikap lantang dalam menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka.

"Mungkin ada kalanya kita bersuara lantang, tapi sebenarnya ini kerana kita cintakan negara ini dan mahu ia menjadi negara yang sebaik mungkin," katanya.

Palanivel juga mengambil kesempatan itu untuk mengemukakan beberapa permintaan kepada Najib berkaitan kewangan bagi melaksanakan pelbagai program untuk membantu masyarakat India.

Antara permintaan itu ialah agar Tafe College milik MIC dinaik taraf sebagai kolej universiti teknikal memandangkan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) milik MCA telah dinaik taraf sebagai kolej universiti.

"Kami juga memohon kepada Perdana Menteri supaya menyediakan geran RM30 juta setiap tahun untuk MIED dan geran sepadan kepada Universiti AIMST," kata Palanivel.

Beliau berkata ekuiti masyarakat India tercicir jauh di belakang sasarannya iaitu sebanyak tiga peratus.

"Tetapi, tiada sebarang pelan afirmatif disediakan untuk membolehkan masyarakat ini mencapainya. Kerajaan mempunyai model yang terbukti berkesan untuk masyarakat Bumiputera. Kita tidak perlu mencipta sesuatu yang baharu. Kita boleh guna pakai sesetengah kaedah yang telah berjaya untuk mempercepat pertumbuhan ekuiti masyarakat India," katanya. Sementara itu, Palanivel membidas sikap pembangkang yang hanya 'memperguna' undi masyarakat India untuk memenangi pilihan raya dan mengabaikan setiap janji yang mereka tabur.

"Tidak ada apa yang mampu mereka beri, tiada apa yang konkrit dan praktikal. Semuanya hanya janji kosong seperti merobohkan kuil di Sepang dan menjadikan penduduk Kampung Buah Pala hilang tempat berteduh. Hanya setelah Datuk Seri Najib campur tangan, barulah mereka diberi rumah," katanya.

Palanivel menyeru anggota perwakilan ke perhimpunan itu supaya terus berusaha, sentiasa setia kepada parti dan berwawasan jauh kerana cabaran yang dihadapi masyarakat India sentiasa ada dan pelbagai, yang tidak mungkin dapat diatasi dalam tempoh singkat. - BERNAMA

Artikel Lain