suria

MIC Ingin Buat Pertukaran Kerusi Negeri Dengan Parti Komponen BN - Palanivel

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata parti itu berminat membuat pertukaran kerusi negeri di Perak dengan parti komponen BN lain pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya MIC bersedia melepaskan kerusi Behrang dan Pasir Panjang sebagai pertukaran dengan kerusi Buntong, yang mempunyai 48 peratus penduduk India, manakala satu kerusi lagi masih di peringkat rundingan.

Beliau berkata sekiranya MIC tidak mendapat kerusi yang dimintanya di Perak, parti itu akan memilih Dengkil di Selangor sebagai pilihan kedua.

"Perbincangan sedang diteruskan. Kami tidak akan lepaskan sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi negeri. Semuanya akan kami pegang," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian perhimpunan agung tahunan ke-66 parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Perhimpunan agung sehari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri 1,500 anggota perwakilan serta 2,000 pemerhati.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata tidak berlaku salah faham antara beliau dan para pemimpin parti berhubung cadangan pertukaran kerusi itu.

Tambahan pula, kata beliau, undi India dan Melayu di Perak dan Selangor terhadap BN begitu meyakinkan kerana kedua-dua negeri itu mempunyai ramai pengundi. Perak mempunyai 55,000 hingga 60,000 pengundi, manakala Selangor mempunyai 230,000 pengundi yang terdiri daripada wanita dan belia.

Mengenai pengundi Cina, Palanivel berkata undi mereka juga tidak kurang pentingnya dan sehubungan itu, kini MIC turun padang untuk mendapatkan undi mereka.

"Kami mendampingi masyarakat Cina melalui kawasan MIC di seluruh negara. Kami tidak mengetepikan undi Cina dan mereka akan memberi undi kepada kami.

"Sekiranya kami dapat dampingkan diri dengan kira-kira 30 hingga 35 peratus pengundi bandar (dengan undi luar bandar dijangka bertambah di sesetengah kawasan), ia akan mengukuhkan kemenangan dan parti kami," katanya.

Palanivel berkata kini, beliau memberi tumpuan kepada semua kawasan untuk memastikan kemenangan MIC dan parti itu akan turut meletakkan calon wanita pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain