Zahrain Dan Aminah Bersama 347 Bekas Anggota PKR Serah Surat Mohon Sertai Semula Umno Kepada Najib - Semasa | mStar

Zahrain Dan Aminah Bersama 347 Bekas Anggota PKR Serah Surat Mohon Sertai Semula Umno Kepada Najib

GEORGE TOWN: Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Aminah Abdullah hari ini menyerahkan surat permohonan menyertai semula Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Surat permohonan Zahrain dan Aminah bersama 347 bekas anggota PKR dari Bayan Baru, Bukit Gelugor dan Jelutong itu diserahkan kepada Najib pada majlis makan tengah hari Perdana Menteri bersama Masyarakat Bayan Baru, di perkarangan Pejabat Umno Bahagian Bayan Baru di sini.

Bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berkata beliau memilih untuk kembali kepada Umno kerana percaya hanya parti itu mampu memperjuang wadah orang Melayu terutama penduduk di Pulau Pinang.

Aminah yang keluar parti itu pada tahun 2007 berkata beliau kembali menyokong BN kerana yakin hanya parti itu mampu membantu semua kaum di negara ini.

"Sudah sampai masanya saya memilih Umno kerana selama ini saya tertipu dengan perjuangan pakatan pembangkang, mereka sebenarnya mempunyai agenda tertentu sahaja," kata Zahrain.

"PKR dan Pas yang mendakwa kononnya memperjuang nasib orang Melayu sebaliknya hanya memperguna kepentingan orang Melayu, tiada parti lain yang mampu memberi keistimewaan kepada orang Melayu dan bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan, di sini.

Terdahulu pada majlis itu, kira-kira 1,000 masyarakat kawasan Bayan Baru menyertai majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta para pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.

Zahrain berkata lebih ramai lagi anggota parti dari pembangkang akan menyertai Umno pada masa depan dan beliau percaya situasi itu mampu memberi kelebihan kepada BN Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau berkata rakyat Pulau Pinang harus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan BN kerana hanya parti itu mampu memperjuang nasib mereka berbanding pembangkang yang pandai membuat janji sahaja.

"Ini hanya permulaan (menyerahkan surat permohonan menyertai semula Umno) dan lebih ramai lagi terutama mereka yang bukan Melayu akan menyertai dan beri sokongan pada BN, ia bukan sahaja di kawasan Bayan Baru malah beberapa parlimen lain di sini (bahagian pulau)," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyokong Umno jika tidak dipilih sebagai calon PRU-13 nanti, Zahrain berkata beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih Perdana Menteri menjadi calon BN di Bayan Baru untuk memastikan kemenangan BN. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain