suria

Pikap Mahu Media Tempatan Lebih Berhati-hati Dalam Laporan Mengenai Pembantu Rumah Asing

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) mahu media tempatan lebih berhati-hati menyiarkan laporan mengenai pembantu rumah asing pada masa depan bagi mengelak suasana 'panas' antara Malaysia dengan negara sumber.

Presiden PIKAP, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata ini berikutan beberapa fakta mengelirukan berhubung dakwaan 105 pekerja asing dikurung di sebuah agensi pekerjaan di Klang baru-baru ini yang mencerminkan seolah-olah negara ini tidak lagi selamat untuk pekerja asing.

Beliau yang mengadakan sidang media di sini hari ini bagi menjelaskan situasi sebenar berkata, PIKAP telah menubuhkan satu pasukan petugas sehari selepas kejadian bagi menyiasat sendiri situasi berkenaan.

"Kita telah pergi sendiri ke agensi terbabit dan amat kesal ada laporan yang menyatakan pekerja-pekerja asing ini tidak dibayar gaji dan diberi makan kertas serta tidak diberikan makanan yang cukup.

"Sebagai agensi yang berdaftar di bawah PIKAP, kami berasa bertanggungjawab memberitahu keadaan sebenar kepada masyarakat apa yang sebenarnya yang berlaku di agensi terbabit," katanya di sini.

Raja Zulkepley berkata memang terdapat kes pekerja tidak dibayar gaji tetapi ia hanya melibatkan dua kes pembantu rumah Kemboja dan kes itu telahpun dibawa ke pihak kedutaan untuk diselesaikan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Agensi hanya bertindak sebagai pengurus antara majikan dengan pekerja, dan gaji dibayar oleh majikan bukan agensi.

"Siasatan juga mendapati tidak ada pekerja yang dihantar bekerja sebagai tukang bersih seperti didakwa kerana rata-rata mereka telah diberitahu akan bekerja sebagai pembantu rumah di sini malah 82 daripadanya telah mempunyai majikan yang menunggu," katanya.

Beliau berkata, baki 80 pekerja lagi rata-ratanya baru sampai tiga hingga seminggu lalu dan belum memulakan pekerjaan kerana mereka sedang menunggu kelulusan JP Visa dari Imigresen dan laporan kesihatan dari Agensi Pengawasan Pemeriksaan Perubatan pekerja Asing (Fomema) selain latihan.

"Malahan JP Visa empat daripadanya telah pun diluluskan,"katanya.

Berhubung laporan pekerja-pekerja tidak diberi makan yang cukup, Raja Zulkepley berkata ia berlaku di rumah majikan tempat mereka bekerja dan bukan di agensi berkenaan.

Katanya, melalui lawatan PIKAP ke agensi berkenaan, terdapat banyak bekalan makanan disimpan sebagai membiayai keperluan makan tiga kali sehari mengikut standard biasa agensi pekerjaan negara ini.

"Kita juga mendapati para pekerja ditempatkan di bangunan berkeluasan 20x80 kaki persegi dan diletakkan sama bangunan dengan pejabat urusan pentadbiran selain terdapat akses untuk ke ruang pejabat dan tidak ditinggalkan sendirian," katanya.

Mengenai adanya laporan pekerja dipaksa memakan kertas surat khabar apabila cuba bersuara, Raja Zulkepley berkata hanya seorang sahaja pekerja yang membuat pengakuan berkenaan tetapi ia sangat diragui dan siasatan terperinci dan bukti kukuh perlu diperoleh pihak terlibat.

Katanya, maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai mengesahkan laporan perubatan hospital kerajaan membuktikan tidak ada kesan penderaan fizikal pada tubuh badan mereka.

"Justeru dengan pendedahan ini, kita minta media lebih beretika dalam melaporkan berita ini kerana laporan sebelum ini menampakkan seolah-olah kesemua 105 pekerja terbabit tidak dibayar gaji, didera dan tidak diberi makan yang cukup dan paling teruk diberi makan kertas, satu tindakan yang amat tidak berperikemanusiaan," tegasnya.

Dalam pada itu, PIKAP tidak akan melindungi mana-mana agensi pekerjaan atau anggota yang tidak bertanggungjawab atau menjalankan aktiviti memperdagang orang dalam menguruskan penggajian pekerja asing.

Isnin lalu beberapa media tempatan melaporkan Jabatan Imigresen Selangor menyelamatkan 105 wanita warga asing dalam Ops Khas 6P dalam satu serbuan di sebuah syarikat agensi pembantu rumah yang beroperasi di Bandar Baru Klang, di sini.

Laporan tersebut menyebut mereka bukan saja dikurung, malah turut dipaksa makan kertas surat khabar selain tidak dibayar gaji sejak enam bulan lalu. BERNAMA

Artikel Lain